KUCHING: Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 yang akan berlangsung mulai 17 hingga 24 Ogos depan bakal menjadi terbesar dalam sejarah penganjurannya sejak 1986.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, lebih 12,000 atlet akan berkampung di sembilan bahagian di negeri itu untuk menyertai 37 sukan yang dipertandingkan.
Katanya, sebanyak 13 negeri termasuk Wilayah Persekutuan dan Brunei Darussalam mengesahkan penyertaan untuk bersaing dalam 484 acara sukan.
"Ini merupakan kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah dan pertama kali pada 1990 diikuti 2016 dan 2024.
"Kali ini penganjuran SUKMA yang terbesar dalam sejarah kerana melibatkan sukan dengan 484 acara dipertandingkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengetuai delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Johor, Dato Onn Hafiz Ghazi di Bangunan Dato Ja’afar Muhammad, Johor Bahru, semalam.
Mengulas mengenai kejohanan Para SUKMA pula, beliau berkata temasya dwitahunan itu akan mempertandingkan sebanyak 10 sukan dengan 361 acara.
Katanya, Para SUKMA akan berlangsung dari 20 hingga 28 September, kesemua 10 acara sukan akan dilangsungkan di Kuching.
Ia akan membabitkan seramai 1,400 atlet dan 600 pegawai membabitkan 15 negeri termasuk Wilayah Persekutuan dan Labuan.
Untuk rekod, Johor menjadi persinggahan kelapan delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 selepas Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula sejak 22 April lalu.
Delegasi akan meneruskan jelajah kunjungan hormat ke Melaka dan Negeri Sembilan hari ini.